Monday, 25 July 2011

HAJI



    “HAMBA-MU datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, 
    tidak ada sekutu bagi-Mu.”
    Musim haji tiba lagi. Talbiah akan terus bergema setiap kali umat Islam dari seluruh dunia mengunjungi Makkah untuk menunaikan fardu haji, rukun Islam kelima.
    Makkah sebenarnya adalah nadi masyarakat dunia Islam kerana di sana berdiri megah kiblat umat Islam, iaitu Kaabah.
    Oleh itu tidaklah menghairankan apabila setiap tahun lebih 1.5 juta umat Islam dari seluruh dunia, termasuk kira-kira 19,000 umat Islam dari Malaysia, berkumpul di kota suci ini.
    Allah berfirman yang bermaksud:
    “Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji (dengan) mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat suatu pun) dari sekalian makhluk.” (Ali-Imran: 97)          
    MAKSUD HAJI:          
            Mengikut syarak, ibadat haji ialah mengunjungi Kaabah dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, sa’i dan wukuf di Padang Arafah dengan mengikut syarat dan menunaikan segala rukun dan wajibnya. 
      
           Semua jemaah berharap untuk mendapatkan haji mabrur. Bagi mendapatkannya, pelbagai aspek perlu dihayati, terutama rukun dan wajib haji.
    Kebanyakan ulama' berpendapat ketika melaksanakan ibadat haji, sebenarnya kita meninggalkan pekerjaan, keluarga dan jiran tetangga, menuju rumah Allah, iaitu Kaabah.          
    HIKMAT IBADAT HAJI:        
            Haji adalah latihan untuk kembali kepada Allah. Ia juga adalah latihan kematian kerana kita meninggalkan tanah air, pekerjaan dan keluarga semata-mata dengan niat ingin menemui Allah.
                Ibnu Arabi dalam karyanya Al-Futuhat al-Makkiyah (Keterbukaan di Makkah) ada menyebut:
    “Kita akan kembali kepada Allah dengan cara berbeza. Ada yang kembali dengan cara terpaksa, tetapi setuju atau tidak, kita semua akan kembali kepada Allah yang kita sebut sebagai mati. Ada pula cara yang lain, iaitu kita disuruh kembali kepada Allah dengan cara yang tidak terpaksa iaitu dengan sukarela. Kembali seperti inilah yang dilakukan oleh jemaah haji. Dengan kata lain, melaksanakan ibadat haji bermakna kita kembali dengan sukarela untuk memenuhi panggilan Allah.” 
            Ringkasnya, haji adalah cara berangkat menuju Tuhan dengan sukarela. Ibadat haji juga berkait rapat dengan ibadat korban yang dilambangkan oleh peristiwa Nabi Ibrahim dan puteranya, Nabi Ismail.
    Peristiwa itu memberi pelbagai pengajaran dan antaranya ialah kesanggupan kita untuk membunuh sifat kebinatangan yang ada pada diri iaitu tamak, rakus, mementingkan diri dan tidak mengenal hukum. Sifat-sifat itu harus dibunuh dan dijadikan korban demi mencapai korban (kedekatan) diri kepada Allah.     
    BEBERAPA AMALAN WAJIB KETIKA 
    MENUNAIKAN HAJI
     
    WUKUF DI ARAFAH 
     
          Di Arafah jemaah haji akan melakukan wukuf iaitu berada di bumi Arafah walau satu saat sekalipun bermula gelincir matahari ke-9 Zulhijjah hingga terbit fajar padi pada hari yang ke-10 Zulhijjah. Seeloknya berada di sana sebahagian hari ke-9 dan sebahagian malam ke-10 Zulhijjah.
     
    BERMALAM DI MUZDALIFAH  
     
           Satu lagi wajib haji ialah bermalam atau berada di Muzdalifah selepas jam 12 malam sehingga subuh 10 Zulhijjah. Meninggalkannya tanpa uzur syar’ie adalah berdosa dan wajib membayar dam. Dalam perjalanan ke Mina, jemaah disunatkan mengutip batu untuk melontar jumrah
    .
     
    BERMALAM DI MINA 
     
             Jemaah haji wajib bermalam di Mina pada malam tasyrik, iaitu malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah dan wajib melontar tiga jumrah. Disyaratkan bermalam sepenuhnya di Mina atau lebih daripada separuh malam tetapi boleh meninggalkan Mina menuju Makkah pada hari ke-12 Zulhijjah.

PUASA



Maksud Puasa daripada sudut bahasa:
Menahan diri daripada sesuatu.
Maksud Puasa daripada sudut istilah:
Menahan diri dari makan dan minum dan perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sadiq hingga terbenam matahari.
Syarat sah puasa
  1. Islam
  2. Mumayyiz
  3. Suci daripada hadas dan nifas
  4. Puasa pada hari-hari yang dibolehkan, tidak boleh puasa pada 2 hari raya dan hari tasydiq
Syarat Wajib Puasa 
  1. Islam
  2. Mukallaf
  3. Baligh/Berakal
  4. Waras
Perkara-perkara Makruh Ketika Puasa
Supaya keutamaan dalam mengerjakan ibadah puasa itu dapat dicapai dengan menjaga segala perbuatan yang makruh.
  1. Berkumur-kumur atau bersugi apabila waktu matahari telah tergelincir
  2. Terlalu memasukkan air ke hidung ketika dalam puasa
  3. Mengeluarkan kata-kata keji
Perkara-perkara yang membatalkan puasa
  1. Makan dan minum dengan sengaja
  2. Muntah dengan sengaja
  3. Bersetubuh
  4. Keluar darah haid atau nifas
  5. Gila
  6. Mengeluarkan mani pada siang hari
  7. Murtad
Sunat-sunat Puasa
Perbuatan-perbuatan yang sunat dilakukan oleh orang berpuasa.
  1. Makan sahur
  2. Menyegerakan berbuka puasa
  3. Melewatkan makan sahur
  4. Meninggalkan perbualan kosong
  5. Memperbanyakkan membaca Al-Quran
  6. Memperbanyakkan sedekah
  7. Mendirikan sembahyang terawih pada malam bulan Ramadhan
  8. Menjamu orang-orang yang berpuasa pada waktu berbuka
Uzur yang membolehkan puasa ditinggalkan
  1. Sakit yang menghilangkan kekuatan untuk berpuasa
  2. Berjalan jauh, sejauh perjalan yang membolehkan mengqasar solat
  3. Orang tua yang sangat lemah
  4. Lapar dan dahaga yang bersangatan

ZAKAT



PETA KONSEP


Pengertian zakat


Dalam bahasa Arab, “zakat” secara umumnya bererti pertambahan. Berdasarkanpengertian umum ini, zakat pada bahasa bererti suci dan subur.
  • Maksud suci ialah menyucikan hati pemilik harta dari segala sikap tamak, kedekut, dan tidak mempunyai perasaan belas kasihan kepada orang miskin.
  • Maksud subur ialah mempererat dan menyuburkan ikatan persaudaraan sesama orang islam, terutamanya golangan kaya dengan golongan miskin. Harta juga akan terus membiak dan semakin bertambah dari semasa ke samasa.
Zakat pada istilah syarak pula bermaksud mengeluarkan harta tertentu mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak, dengan kadar tertentu dan diberikan kepada golongan yang tertentu.

DALIL ZAKAT

Antara dalil wajib mengeluarkan zakat yang terdapat didalam al-quran dan hadith ialah :
  • firman Allah yang bermaksud : “ Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)…. 
    (surah al-Taubah 19: 103)

  • Firman Allah : Maksudnya: "Dan dirikanlah shalat olehmu semua dan berikanlah zakat."
(al-Baqarah: 43)


  • hadith rasulullah s.a.w yang bermaksud :- Ibn Abbas berkata : “ Rasulullah menyuruh kita bersembahyang, membayar zakat, menjaga hubungan silaturrahim dan menjaga kesucian diri.”
(hadith riwayat al-Bukhari)

PERANAN ZAKAT




        Selain sifatnya sebagai ibadat dalam islam, zakat juga mempunyai objektif kemanusiaan yang nyata. Ia meliputi aspek-aspek kerohanian dan kebendaan yang merangkumi individu dan masyarakat sekaligus. Dalam aspek kebendaan, zakat secara jelas dapat dilihat sebagai salah satu sumber kewangan Negara yang bertujuan khusus untuk membantu orang-orang yang lemah dan memerlukan. Dari segi ini, ia boleh dikatakan tidak berbeza dengan cukai yang dipungut oleh mana-mana Negara daripada rakyatnya. Dalam aspek kerohanian pula, zakat dapat mempertingkatkan nilai hidup berbagai-bagai pihak termasuk pemberi, penerima dan masyarakat umum juga. Malah zakat juga dapat mempertingkatkan nilai harta kepunyaan orang yang mengeluarkan zakat itu. Secara ringkasnya ia boleh dirumuskan seperti berikut: 


Mempertingkatkan nilai hidup pemberi        
     
                  Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “ Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)….(surah al-Taubah 19: 103). Penyucian yang dimaksudkan dalam ayat tersebut boleh berlaku dalam berbagai-bagai cara dan aspek. Salah satu daripanya ialah menyucikan pemberi zakat daripada sifat kedekut yang sangat dibenci oleh islam. Oleh itu, dengan memberi zakat perasaan kedekut ini dapat dikikis dari semasa ke semasa dan dapat melatih seseorang berbelanja dengan betul. Selain itu, pengeluar zakat juga dapat merasai kemanisan berbelanja pada jalan Allah dan keselesaan melepaskan diri daripada cengkaman perhambaan diri terhadap harta benda. Zakat juga boleh mengubah rasa kasih sayang seorang penerima zakat terhadap pemberi zakat.


Membersihkan dan menyuburkan harta
                  
            Dalam mencari harta kekayaan, kadang-kadang secara tidak sedar telah berlaku pencerobohan terhadap hak orang lain. Hal ini menyebabkan harta yang dikumpul telah dicemari oleh hak orang lain. Maka, bagi menyucikan kecemaran tersebut zakat perlulah dikeluarkan. Selain itu, zakat juga boleh memperkembangkan harta berkenaan dan menambah keberkatannya. Meskipun pada lahirnya harta bekenaan akan mengalami kekurangan akibat pengeluaran zakat, pada hakikatnya ia akan mempertingkatkan kegiatan ekonomi masyarakat dan mungkin juga akan memberi pulangan yang lebih kepada pengeluar sendiri sebagaimana firman Allah yang bermaksud :“ Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezki bagi siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (siapa yang dikehendaki-Nya). dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, Maka Allah akan menggantinya dan Dia-lah pemberi rezki yang sebaik-baiknya.”(surah Saba’ : 39) 


Membantu pihak yang memerlukan. 


         Ini jelas dapat dilihat daripada senarai golongan yang layak menerima zakat yang terdiri daripada fakir miskin, hamba abdi yang berusaha untuk membebaskan diri, mereka yang dihimpit beban hutang, mereka yang keputusan belanja dalam perjalanan dan sebagainya. Pemberian zakat kepada golongan yang memerlukan ini akan dapat menampung keperluan hidup mereka dan mereka tidak akan merasa tersisih daripada masyarakat serta tidak menyimpan perasaan dengki kepada pemilik harta. 


Memperkukuhkan Jaminan Sosial  
  
        Pemberian zakat kepada fakir miskin dan pihak-pihak yang memerlukan bukan sahaja memberi kesan kepada mereka secara individu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya. Bantuan yang diberikan ini, bukan sahaja boleh melegakan seseorang itu secara peribadi tetapi boleh menjadikannya lebih aktif dan masyarakat mendapat faedah daripada aktivitinya itu. Hal ini boleh disifatkan sebagai jaminan keatas semua pihak yang memerlukan sama ada dari segi fizikal, mental ataupun moral.